Thursday, August 16, 2018

Ahmad Ammar -Pemergian yang sangat dicemburui-

Assalamualaikum wbt,

Beberapa jam yang lepas, aku menghadiri satu majlis ilmu tentang sejarah hidup Ahmad Ammar, pemuda yang pernah menjadi fenomena kerana pemergiannya dalam melakukan kerja dakwah serta berjihad dalam mempelajari ilmu sejarah yang diceburinya. Pengisian ini disampaikan oleh bapanya, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman juga mantan presiden Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia).


Sangat jarang pemuda masa kini meminati subjek sejarah kerana bagi kita apa yang lepas tak perlu dikenang. Di sini, bapanya menekankan Ahmad Ammar untuk pelajari sejarah kerana generasi muda pada masa kini buta sejarah. Sambil aku salin, aku pun tersentap sendiri. Sangat setuju kerana buktinya ada pada diri sendiri. Fuh.

Banyak perkongsian bapanya tadi, tapi paling menyentuh jiwa dan menikam kalbu aku adalah ketika mana bapanya bercerita tentang nasihat Ahmad Ammar ni kepadanya. Bapanya pernah berkata kepada Ahmad Ammar tentang dia sudah penat dan perlukan rehat kerana jadualnya yang terlalu padat. Ahmad Ammar menjawab "kalimah rehat takde dlm dunia, dunia tempat kita bekerja. Tempat rehat hanya ada di akhirat dan di akhirat takde perkataan kerja. Sbb kat sana mmng tmpt rehat selamanya." Lebih kurang macam tu la bunyi nasihatnya. Fuh, sangat ringkas tapi membawa maksud yang sangat menusuk hati aku. Inilah namanya mati tapi hidup dengan kerja dakwah.

Aku sedar, aku banyak mengeluh kebelakangan ini. Dengar je ayat Ahmad Ammar tadi, terus aku termenung  panjang. Sampai dekat bilik aku masih termenung mengenangkan diri aku yang mudah sangat penat dan terlalu banyak rehat. Kadangkala, kelas ada empat satu hari tapi rasa penat aku membuatkan aku nak rehat sahaja sepanjang masa.

Memang betul, inilah mati yang sangat dicemburui. Terima kasih Ahmad Ammar Ahmad Azam. Pemergianmu membuka mata kami.

Ok, itu sahaja. Assalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment